Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@nstp.com.my


LELAKI dipercayai terbabit dalam kes ceroboh dan curi di sebuah bilik sewa ditahan polis di hadapan Plaza Yu Lan, Miri, pagi kelmarin.

Suspek berusia 20-an ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri pada jam 11.30 pagi.

Menurut sumber, suspek dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah di sebuah bilik sewa di Jalan Sylvia pada Disember tahun lalu.

“Suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu, dua penghuni sebuah bilik sewa kerugian lebih RM2,000 apabila bilik sewa berkenaan diceroboh individu tidak dikenali pada 11 Disember lalu.

Kejadian disedari pada jam 4 pagi oleh penghuni bilik ketika tersedar dari tidur sebelum mangsa mendapati biliknya dalam keadaan berselerak.

Antara barang yang lesap seperti komputer riba, telefon bimbit dan sejumlah wang tunai dengan jumlah kerugian keseluruhan melebihi RM2,000.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 8:20 PM