Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my


CISCO System (Malaysia) Sdn Berhad belum memberikan sebarang reaksi berhubung kes kakitangannya mengeluarkan kenyataan menghina Sultan Kelantan Sultan Muhammad V di media sosial.

Malah, syarikat berkenaan memanggil pengawal keselamatan dan polis bantuan ketika pihak media ke pejabat syarikat berkenaan di Tingkat 5, One Sentral, KL Sentral, Kuala Lumpur, hari ini.

Drama berperang mulut turut berlaku kira-kira setengah jam bermula 4 petang antara seorang lelaki yang muncul dari pejabat itu ketika media ingin membuat liputan penyerahan memorandum oleh Pemuda UMNO Malaysia kepada syarikat berkenaan.

Malah, kamera jurukamera Harian Metro Nor Farizan Abdull Rahman juga hampir dirampas lelaki itu yang kelihatan bengang dengan kehadiran petugas media dan wakil Pemuda UMNO iaitu Exconya Ikmal Hazlan Ikmal Hisham serta Naib Ketua Pemuda UMNO Selangor Amin Mohd Shukor.


LELAKI yang menghalang petugas media (baju hijau) yang membuat liputan. FOTO Amir Abd Hamid

Lelaki yang dikenali sebagai Danial turut mengambil gambar kad media yang bertugas dan turut mempersoalkan tugas dilakukan media walaupun sudah dijelaskan isu kakitangan syarikat itu Eric Liew menghina Sultan adalah isu negara.

Apabila suasana semakin tegang, seorang kakitangan wanita syarikat penyedia sistem keselamatan siber itu akhirnya akur untuk menerima memorandum daripada Ikmal Hazlan.

Namun, tiada sebarang kenyataan diberikan daripada mana-mana wakil syarikat itu.

Sementara itu, Ikmal Hazlan berkata, memorandum yang diserahkan itu antara lain menyatakan kekecewaan dan kesal dengan kenyataan dikeluarkan Eric Liew di media sosial mengenai Sultan Kelantan berikutan keputusan baginda meletak jawatan Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa, semalam

“Sebagai rakyat Malaysia yang menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, tindakan Eric Liew adalah biadap dan tidak menjaga sensitiviti rakyat berbilang kaum di Malaysia.

“Komen Eric yang dibuat secara terbuka di laman Facebook (FB) melanggar Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 kerana menghasut kebencian kepada Yang di-Pertuan Agong dan Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana salah guna kemudahan komunikasi untuk sebarkan maklumat jelik dan menghina.

“Ia juga tidak mencerminkan nilai dan falsafah Cisco System iaitu ‘We respect and care for each other’.

“Justeru, Cisco ASEAN dan Cisco System berpangkalan di San Jose (Amerika Syarikat) perlu mengambil tindakan ke atas pekerja mereka, Eric Liew yang jelas melanggar prinsip, nilai dan falsafah syarikat itu,” katanya.

Bulan lalu, kakitangan syarikat pengedar kereta Honda, Sri Utama Auto Sdn Bhd (Honda Sri Utama Auto), Caryn Yean yang mengeluarkan kenyataan menghina kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim diberhentikan kerja serta-merta.

Pengarah Honda Sri Utama Auto Wong Chee Keong dipetik berkata, siasatan dalaman syarikat mendapati wanita terbabit melanggar polisi syarikat dengan melakukan kesalahan tatatertib.

Wong dilaporkan berkata, perbuatan itu, mengakibatkan khidmatnya dengan syarikat itu ditamatkan serta-merta.

Lagi berita berkaitan Agong letak jawatan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 7:19 PM
WAKIL Cisco System (Malaysia) Berhad (kanan) menerima memorandum daripada Ikmal Hazlan Ikmal Hisham. FOTO Amir Abd Hamid