Ayat al-Quran di dalam restoran sudah ditanggalkan selepas JAIS membuat serbuan. FOTO Faiz Anuar
Iskandar Shah Mohamed dan Faliq Lajim
cnews@nstp.com.my


SEBUAH restoran di Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam diarah menurunkan ayat al-Quran yang digantung serta-merta berikutan tiada Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah sehingga boleh mendatangkan kekeliruan kepada umat Islam.

Malah satu bungkusan kuning turut ditemui tergantung di sebelah ayat al-Quran dipercayai azimat dalam pemeriksaan yang dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam.

Timbalan Pengarah Operasi JAIS, Salwana Ahmad Dahlan berkata, pemeriksaan bersepadu jam 11 pagi itu dijalankan berdasarkan maklumat yang tular di media sosial mendakwa restoran itu mengelirukan kerana menggantung ayat suci al-Quran walaupun tidak menganuti agama berkenaan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan yang merujuk kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di premis itu turut mendapati ia dimiliki dua pemilik yang beragama Islam dan Hindu.

“Hasil pemeriksaan mendapati semua pekerja beragama Hindu termasuk tukang masak dan hanya dua pekerja beragama Islam.

“Pemeriksaan kebersihan premis itu juga didapati pada tahap sangat tidak memuaskan dan terlalu kotor di bahagian pemprosesan.

“Kebanyakan peralatan di dapur terlalu kotor dan berdaki manakala makanan bahan mentah diletakkan di lantai.

“Produk daging kambing yang didapati di premis berkenaan juga didapati diperoleh daripada pembekal yang tiada sijil halal SPHM sah.

“Selain itu, premis itu menjual makanan yang diperolehi daripada pembekal luar yang menggunakan logo halal generic (tidak diiktiraf) pada pembungkusan produk,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Restoran itu sebelum ini mendapat liputan media selepas satu salinan laporan polis dibuat pemiliknya tersebar membabitkan aduan pekerjanya ditampar selepas menegur tiga pelanggan yang merokok di dalam premis itu pada hari pertama penguatkuasaan larangan merokok di restoran dan premis makanan di negara ini.

Salwana berkata, JAIS sudah mengarahkan wakil premis menurunkan ayat al-Quran di dalam restoran serta menutup tulisan jawi pada papan tanda premis sehingga memiliki sijil halal sah.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan diambil oleh Bahagian Penguatkuasaan JAIS mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah 1995 kerana menyebabkan agama Islam dipandang hina untuk tindakan pendakwaan.

“Kita juga sudah mengarahkan wakil premis itu untuk mendapatkan pembekal daging yang ada sijil halal serta tidak menjual produk makanan menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf.

“Selain itu, pemilik premis diarah hadir ke Bahagian Pengurusan Halal JAIS untuk memberi keterangan.

“Semua perkara ini perlu dipatuhi dan jika gagal tindakan mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) APD 2011 akan diambil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 7:05 PM