(Gambar fail) Anwar bertemu Dr Mahathir di Putrajaya baur-baru ini.
Nadia Hamid
nnadia@nstp.com.my

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada pemimpin yang bermuka-muka dan cuba melagakannya dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Port Dickson yang mengulangi penegasan bahawa tiada konflik antaranya dengan Dr Mahathir, turut memberi isyarat kepada kepimpinan Pakatan Harapan (PH) supaya berwaspada dengan golongan itu.

Beliau sedar wujudnya watak-watak yang disifatkan mempunyai niat buruk supaya parti gabungan baharu itu gagal.

“Saya menggesa kepimpinan untuk berwaspada dengan pemuka-pemuka ini yang lebih senang dengan budaya kronisme, dan cubaan mereka untuk menimbun harta kekayaan, dan mengabaikan keadilan dan kebajikan rakyat.

“Mari kita bergerak ke depan dan bekerja ke arah memungkinkan sebuah Malaysia yang progresif, sejahtera dan aman sentosa,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kerajaan sedang bekerja dan berusaha memenuhi janji kepada rakyat Malaysia, yang mewakili semua rakyat rentas kaum dan agama serta menolak sebarang bentuk prejudis dan ancaman mengganggu gugat ketenteraman awam.

Katanya, kepimpinan parti gabungan harus kekal fokus terhadap isu yang menekan dengan meringankan beban rakyat, menyegerakan reformasi institusi dan mengheret mereka yang mencurangi dana awam ke muka pengadilan.

Sementara itu, Anwar meminta rakyat dan kepimpinan PH memberi ruang dan dukungan untuk Dr Mahathir terus mengemudi kerajaan sebelum peralihan kuasa Perdana Menteri diserahkan kepada beliau.

Katanya, pelbagai andaian membabitkan soal peralihan kuasa, yang dilaporkan media perdana dan media sosial, dengan mengandaikan wujudnya pertembungan dalam kalangan pimpinan.

“Saya ingin mengulangi bahawa tidak wujud sebarang pertelingkahan antara saya dan Dr Mahathir soal peralihan kuasa.

“Kita bersetuju berkenaan proses dan pelan transisi dan juga turut dimuafakati di peringkat PH.

“Sejurus pertemuan saya bersama Dr Mahathir, Rabu lalu, saya mengulangi pendirian bahawa Dr Mahathir wajar diberi ruang dan dukungan untuk mengemudi kerajaan,” katanya mengulangi sokongannya kepada kepemimpinan Dr Mahathir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 6:49 PM