Farah Marshita Abdul Patah
farahmarshita@nstp.com.my


MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur, hari ini membenarkan permohonan bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman untuk mendapatkan pasport antarabangsanya bagi mendapatkan rawatan kesihatan di London.

Terdahulu, Hakim Rozina Ayob membenarkan pasport Musa, 68, dilepaskan dari 15 Januari ini hingga 10 Februari depan, bagaimanapun, pergerakannya hanya terhad ke London, United Kingdom dan Singapura sahaja.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan, iaitu Musa perlu melaporkan diri setiap tiga hari sekali ke Kedutaan Malaysia di London sepanjang tempoh rawatan di negara itu antara 23 Januari ini hingga 8 Februari depan dan di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura.

Hakim turut memerintahkan Musa untuk mengemukakan alamat tempat penginapannya ketika berada di Singapura dan London serta pasport harus dipulangkan ke mahkamah selewat-lewatnya pada 11 Februari depan.

“Sekiranya mahkamah mendapati terdapat pergerakan lain selain dari London dan Singapura, maka jaminan akan dibatalkan,” katanya.

Pada prosiding itu, mahkamah turut membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, untuk mengenakan jaminan sementara berjumlah RM200,000 bagi pelepasan pasport dan akan dipulangkan selepas pasport dikembalikan ke mahkamah.


MUSA (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. Foto ASWADI ALIAS

Sebelum ini, Musa diikenakan ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 20 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Pada 5 November lalu, Musa didakwa atas 35 pertuduhan rasuah membabitkan suapan daripada lapan pemilik konsesi balak, iaitu wang keseluruhan berjumlah AS$63.3 juta (RM263,460,962.313).

Berdasarkan kertas pertuduhan, Musa didakwa memperoleh rasuah daripada lapan pemilik syarikat konsesi balak dan dia dituduh melakukan kesalahan itu di lapan institusi kewangan di Hong Kong dan Singapura antara 20 Disember 2004 dan 6 November 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 2:07 PM