Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


SEORANG pemilik dan pekerja kedai runcit warga Pakistan di Kelantan menjadi dua individu pertama di negara ini dituduh mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang dipinda berkuat kuasa, awal bulan ini.

Tertuduh Rizwan Ullah, 26, dan Tariq Zaman, 25, masing-masing didenda RM100,000 di Mahkamah Majistret Kota Bharu selepas mengaku salah terhadap tuduhan memiliki rokok seludup bernilai RM152.

Majistret Kamarul Hasyime Rosli memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama memiliki 1,900 batang rokok jenama Saat bernilai RM152 yang dilarang pengimportannya di sebuah kedai runcit, Jalan Pasir Mas-Salor, Kota Bharu, pada 4.15 petang, 4 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.


PEGAWAI kastam mengiringi dua tertuduh (tengah) di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini. Foto ZAMAN HURI ISA

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Rantau Panjang melakukan pemeriksaan di sebuah kedai runcit dan menemui rokok.

Pemeriksaan lanjut, tertuduh tidak mempunyai dokumen yang membuktikan rokok yang dirampas diimport secara sah.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa JKDM Norbayani Shamsuddin memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 12:14 PM