WAN AZIZAH pada majlis berkenaan. FOTO Zaaba Zakeria
Garret Dawum
garret@hmetro.com.my


"KITA perlu hormat keputusan yang dibuat oleh Sultan Muhammad V," kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berhubung

peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa serta-merta, hari ini.

Katanya, beliau masih bersedih dengan berita itu dan tidak menyangka keputusan itu (peletakan jawatan) akan dibuat oleh Sultan Muhammad V.

“Saya berterima kasih kepada Sultan Muhammad V kerana sudah mengampunkan suami saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Banyak perkara yang berlaku ketika baginda memerintah negara kita. Antaranya perubahan dalam pemerintahan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Makmal Kemanusiaan 2.0 - Menangani Isu Rohingya di Malaysia oleh Mercy Malaysia di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak, malam ini.

Wan Azizah berkata, Kabinet turut dimaklumkan dengan berita itu menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

“Berkenaan mesyuarat Majlis Raja-raja, itu saya kurang periksa," katanya.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz dalam satu kenyataan berkata, peletakan jawatan baginda itu dibuat selaras Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, ia sudah dimaklumkan secara rasmi kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja melalui warkah yang diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja.

Katanya, sepanjang menjalankan tugas, baginda sudah berusaha memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku Ketua negara dan berperanan sebagai tunggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan dalam kalangan rakyat.

“Baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja yang memilih baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 bermula 13 Disember 2016.

“Baginda menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan yang memberikan kerjasama dalam mentadbir negara," kata kenyataan itu.

Berita berkaitan

Hampir 27 bulan sebagai Agong

Siapakah bakal ditabalkan?

Rakyat Kelantan terkejut!

Agong letak jawatan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 11:26 PM