MOHD NOR (dua kanan) melihat keadaan rumahnya selepas kejadian angin kuat dan ribut. FOTO Abdullah Yusof
Mohd Hafizee Mohd Arop dan Farah Suhaidah Othman
cnews@nstp.com.my


LEBIH 20 rumah di sekitar Gugusan Manjoi di Ipoh mengalami kerosakan teruk akibat dilanda ribut dan hujan lebat hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, kesemua rumah terbabit mengalami kerosakan di bahagian struktur bumbung, manakala beberapa pokok tumbang, namun tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.

Seorang mangsa yang juga penduduk Kampung Tengku Hussein, Rokiah Ibrahim, 87, berkata, dia yang tinggal berseorangan selepas anaknya keluar bekerja ketakutan apabila mendengar hujan lebat di luar rumah.

“Sebelum azan Asar, secara tiba-tiba hujan begitu lebat dan bunyi bising kedengaran di luar rumah, angin kuat turut masuk ke dalam rumah menyebabkan beberapa perkakasan rumah bertaburan jatuh.

“Seorang lagi anak saya yang tinggal di rumah belakang kemudiannya datang menjenguk dan memberitahu bumbung rumah saya sudah tercabut,” katanya yang ditemui di kediamannya, hari ini.

Rokiah berkata, dia akan berpindah ke rumah ahli keluarga lain buat sementara waktu bagi membolehkan kerja membaiki bumbung dilakukan.


AHMAD FAIZAL (kanan) melawat mangsa ribut di Gugusan Manjoi, Ipoh. FOTO Abdullah Yusof

Seorang lagi mangsa, Mohd Nor Mohamad, 84, berkata, hujan lebat seakan-akan hujan batu dan bunyi angin yang kuat jelas didengari dari dalam rumah kira-kira 4 petang, namun dia tidak menyangka garaj di hadapan rumahnya akan tumbang.

“Dalam tempoh lima minit, angin sangat kuat sekali gus menarik struktur garaj yang didirikan di depan rumah tumbang.

“Saya agak panik kerana bimbang perkara lain tidak diingini berlaku, namun semua ahli keluarga yang lain selamat dan tidak ada apa-apa berlaku,” katanya ditemui di Kampung Seberang Sungai Tapah.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang ditemui ketika melawat beberapa rumah di Gugusan Manjoi di sini berkata, pihaknya sedang mengumpulkan maklumat jumlah rumah dan mangsa yang terjejas dalam kejadian ribut itu.

Katanya, beliau sudah meninjau beberapa rumah di Gugusan Manjoi serta Meru dan mendapati terdapat mangsa yang perlu dipindahkan ke pusat pemindahan sementara berikutan rumah mereka rosak teruk.

“Saya menyeru kepada semua mangsa untuk membuat laporan polis bagi memudahkan proses bantuan susulan dan ketika ini Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang berusaha membersihkan pokok yang tumbang

“Sementara, TNB (Tenaga Nasional Berhad) sedang membantu menyambung semula bekalan elektrik ke semua kediaman dan premis terbabit, mangsa juga dinasihatkan untuk mematuhi arahan pihak berkuasa untuk berpindah demi keselamatan,” katanya.

Dalam pada itu, berdasarkan maklumat diterima daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak, tiga daerah di negeri ini iaitu Kinta, Kerian dan Hilir Perak terjejas akibat ribut dan hujan lebat hari ini.

Setakat ini, jumlah sebenar rumah yang terjejas belum diperoleh dan maklumat awal mendapati kira-kira 40 rumah terjejas di ketiga-tiga daerah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 8:42 PM