Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my


PRESIDEN MyPPP, Tan Sri M Kayveas mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, 26 Januari ini.

Katanya, keputusan itu diambil selepas menerima sokongan penuh daripada ahli Majlis Tertinggi MyPPP yang mengadakan mesyuarat khas, hari ini.

"Selama 48 tahun MyPPP menyertai Barisan Nasional (BN), akhirnya baru sekarang kami berpeluang bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands.

"MyPPP kini bebas membuat keputusan sendiri dan keputusan itu juga akan menjadikan pemilihan kali ini lebih menarik kerana dijangka lebih ramai yang akan bertanding.

"Sudah tiba masanya rakyat melihat MyPPP sebagai 'kuasa ketiga' kerana kami juga adalah parti yang dianggotai pelbagai kaum," katanya pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Kayveas berkata, pihaknya yakin peluang untuk memenangi kerusi berkenaan adalah 50-50 kerana sudah bekerja keras untuk rakyat di kawasan Parlimen berkenaan sejak lebih empat tahun lalu.

Begitupun katanya, MyPPP lebih gemar dianggap sebagai 'underdog' dan menghormati siapa juga bakal lawan pada pilihan raya itu nanti.

"Kami sudah bekerja keras dengan penuh ikhlas sejak empat tahun lalu dan yakin pengundi akan membuat pilihan yang terbaik.

"Namun, berdasarkan perkembangan semasa, dianggarkan hanya sekitar 30 hingga 35 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi yang akan keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada PRK kali ini.

"Daripada analisa yang dijalankan, dijangkakan calon yang mendapat lebih 7,000 undian akan memenangi pemilihan terbabit dan MyPPP kini mempunyai lebih 3,000 pengundi solid (penyokong), hanya 4,000 lebih pengundi lagi yang perlu dicari," katanya yang akan memperjuangkan isu berkaitan tanah dan alam sekitar, perumahan, pekerjaan serta kesesakan jalan yang dihadapi pendudukan kawasan itu .

Kayveas mengumumkan akan bertanding pada PRK Cameron Highlands. FOTO Saifullizan Tamadi

Sementara itu, mengulas mengenai penggunaan logo pada PRK terbabit, Kayveas berkata, perkara itu belum diputuskan oleh parti.

Katanya, keputusan mengenai logo yang akan digunakan hanya akan dimuktamadkan pada hari penamaan calon iaitu pada 12 Januari depan.

Pada 30 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya mengumumkan kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal dan tidak sah selepas calon DAP, M Manogaran berjaya membuktikan terdapat amalan rasuah yang menyaksikan kemenangan Calon MIC, Sivarraajh (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke -14 (PRU-14) lalu.

Sivarraajh sebelum itu memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran dan tiga calon lain.

Naib Presiden MIC itu antara lain didapati bersalah memberi suapan kepada pengundi Orang Asli dalam pilihan raya berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 28 Disember lalu turut mengesahkan Sivarraajh tidak layak bertanding dalam PRK berkenaan

Sementara itu, hari penamaan calon bagi PRK Cameron Highlands akan diadakan pada 12 Januari manakala hari mengundi awal pada 22 Januari

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 5:49 PM