Stor pejabat Sekolah Kebangsaan Seri Payong, Jertih terbakar pagi tadi. FOTO Ihsan JBPM
Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@nstp.com.my


HAMPIR 500 warga Sekolah Kebangsaan Seri Payong, Jertih, Terengganu, cemas selepas stor pejabat di aras satu sekolah terbakar jam 9 pagi tadi.

Stor pejabat itu terletak berhampiran bilik guru dan pejabat sekolah.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Shafruddin Ali Hussin berkata, kejadian menyebabkan buku rekod mengajar dan fail serta dokumen terbakar.

Beliau berkata, kejadian menyebabkan kerugian dianggarkan RM20,000.

“Bagaimanapun kita bersyukur kerana kejadian tidak membabitkan kemalangan jiwa dan sesi persekolahan diteruskan seperti biasa kerana bilik kelas berada di blok lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jertih, Penolong Pengusa Bomba Mohd Zamri Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian jam 9.12 pagi sebelum dua jentera dengan 13 anggota dan pegawai dari Balai Bomba Jertih dan Balai Bomba Besut dikejarkan ke lokasi.

Beliau berkata, setibanya di lokasi api marak dan kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya jam 10 pagi.

“Kebakaran memusnahkan 70 peratus stor simpanan dan pejabat dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Foto Ihsan Pembaca

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 1:10 PM