MASZLEE (empat kiri) memotong riben sebagai gimik penyerahan sumbangan kerusi kepada Klinik Kesihatan Simpang Renggam, sambil disaksikan Pakar Kesihatan dan Perubatan Keluarga yang juga Ketua Klinik Simpang Renggam, Dr Fatimah Hassan (tiga kiri). FOTO Mohd Farid Noh
Mohamed Farid Noh
farid_noh@nstp.com.my


MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengesahkan beliau sudah meletak jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sejak menandatangani surat perletakan jawatannya.

Bagaimanapun Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, tidak menyatakan tarikh khusus bila beliau meletak jawatan termasuk menghantar surat peletakan jawatannya ketika ditanya media.

"Ya, saya sudah letak jawatan bila menandatangani surat (surat perletakan jawatan)," katanya selepas menyerahkan sumbangan kerusi di Klinik Kesihatan Simpang Renggam, hari ini.

Turut hadir,Pakar Kesihatan dan Perubatan Keluarga yang juga Ketua Klinik Simpang Renggam,Dr Fatimah Hassan.

September lalu, Dr Maszlee dilantik sebagai Presiden UIAM ketujuh selama tiga tahun selepas diberi perkenan oleh Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Ahmad Shah.

Pelantikan itu adalah bagi menggantikan Tan Sri Dr Rais Yatim yang tamat kontrak pada Julai tahun lalu.

Namun, pelantikan berkenaan mencetuskan kontroversi apabila mendapat bantahan dan kritikan ramai yang mempersoalkan kelayakan beliau yang kini memegang portfolio sebagai menteri Kabinet.

Awal November lalu,Maszlee Malik bersetuju untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden UIAM.

Ditanya berhubung desas-desus pelantikan bekas Naib Canselor UIAM, Datuk Dr Mohd Daud Bakar sebagai presiden baharu UIAM, Maszlee berkata, ia terpulang kepada universiti berkenaan memutuskannya.

"Kita tunggu pengumuman rasmi UIAM bagi menamakan presiden baharunya, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 January 2019 @ 12:34 PM