Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my


TIDUR peniaga atas talian terganggu selepas ‘dikejutkan’ penjenayah dalam kejadian samun di Kampung Air Mak Cili, Chukai, Terengganu semalam.

Kejadian berlaku jam 4.30 pagi ketika wanita berusia 30 tahun itu tidur bersama bayinya sebelum terjaga apabila mulutnya ditutup lelaki tidak dikenali.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, suspek turut mengacukan pisau ke arah mangsa namun mangsa bertindak menahan tangan lelaki itu yang memegang pisau kerana bimbang terkena bayinya.

“Mangsa kemudian menjerit ke arah suspek dan lelaki itu yang terkejut dengan tindakan mangsa melarikan diri melalui tingkap dapur.

“Ketika melarikan diri, suspek tertinggal pemegang pisau miliknya dan pemeriksaan lanjut mendapati dua telefon bimbit hilang dipercayai dilarikan suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Said berkata, susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Chukai pada hari sama.

Katanya, usaha mengesan suspek dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun menggunakan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 4:34 PM