KEADAAN rumah mangsa yang berselerak di Bandar Tasik Puteri, Rawang, semalam. FOTO Ihsan Mohd Shuhairi Ismail
Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my


BUKAN saja rumah dipecah masuk, malah penjenayah turut meninggalkan najis di tempat letak kereta. Itu nasib menimpa seorang kontraktor selepas rumahnya di Bandar Tasik Puteri, Rawang dipecah masuk, semalam.

Menurut mangsa, Mohd Shuhairi Ismail, 48, dia menyedari kejadian apabila melihat rumahnya dalam keadaan berselerak sebaik bangun daripada tidur kira-kira jam 7 pagi.

Katanya, dia pergi ke bahagian ruang tamu di tingkat bawah dan mendapati beberapa barangan hilang.

“Pemeriksaan mendapati beberapa barang berharga seperti komputer riba, televisyen, kamera, telefon bimbit dan sejumlah wang tunai hilang. Malah, saya turut menemui najis manusia di tempat letak kereta dipercayai ditinggalkan oleh penjenayah berkenaan.

“Berdasarkan tempoh masa kejadian, saya percaya penjenayah masuk ke dalam rumah ini antara jam 3 hingga 4 pagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Shuhairi berkata, dia mengesyaki penjenayah terbabit mengunakan taktik pukau kerana dia dan ahli keluarganya tidak sedar langsung daripada tidur pada hari kejadian.

“Saya rasa penjenayah itu menggunakan ilmu pukau kerana kami sekeluarga tidak sedar langsung daripada tidur.

“Selalunya, setiap hari kami bangun jam 4.30 pagi kerana anak bersekolah, namun semalam kami tidak sedar langsung seolah-olah dipukau,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Rawang, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, siasatan dilakukan mendapati tiada kesan cap jari di lokasi kejadian kerana suspek dipercayai menggunakan sarung tangan.

“Ketika kejadian, mangsa bersama isteri dan tiga anaknya berusia antara empat hingga lapan tahun sedang tidur di dalam bilik.

“Berdasarkan keterangan mangsa, dia memaklumkan menyedari kunci mangga pada pagar besi hilang dan terdapat kesan umpilan pada pintu gelongsur,” katanya.

Katanya, pihak polis sedang memburu suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 3:34 PM