P Rameli bersama sebahagian anak, cucu dan cicitnya ketika berkumpul di kedainya di Kampung Paya Rambai.
Sharifah Mahsinah Abdullah
sharifah@nstp.com.my


KOTA BHARU: Mempunyai nama sama dengan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee membuat peniaga kedai makan di sini menjadi popular dalam kalangan rakan dan orang ramai yang mengenalinya.

Walaupun beliau pernah dipanggil P Ramlee Kelantan, peniaga yang dikenali sebagai P Rameli Zainal, 67, berkata, beliau berasakan tidak layak disamakan dengan Allahyarham hanya kerana namanya sama dengan seniman agung negara itu.

“Walaupun ejaan nama saya tidak sama dengan Tan Sri P Ramlee tapi sebutannya tetap kedengaran sama.

“Bohonglah jika saya katakan saya tidak merasa apa-apa jika ada yang berjenaka dengan saya menyamakan saya dengan seniman agung itu kerana ada ketikanya saya akui rasa gembira dan terharu apabila dipanggil P Ramlee.

“Tetapi ia tidak sekali-kali membuat saya megah. Terfikir juga saya rupanya ada sebab kenapa ibu bapa saya memberikan saya nama itu. Ia kadang-kadang membuat saya popular,” guraunya ketika ditemui di kedai makan anaknya di Kampung Paya Rambai, di sini.


P Rameli menunjukkan MyKad miliknya.

Menurut bapa kepada 17 anak itu, dia dimaklumkan kedua ibu bapanya mereka memberinya nama itu kerana mereka sangat meminati P Ramlee.

“Kedua ibu bapa saya meminati lakonan Allahyarham dan tidak pernah melepaskan peluang jika ada tayangan filem diadakan di Kota Bharu.

“Kalau tak silap saya pada 1951, P Ramlee membuat persembahan di Wakaf Siku dan kedua ibu bapa saya hadir menyaksikan persembahan beliau.

“Selepas itu, saya dilahirkan dan mereka bersetuju menamakan saya sebagai P Rameli,” katanya.

Bekas penghulu Mukim Langgar itu berkata, nama itu membuat beliau mudah dikenali dan diingati ramai orang terutama semasa majlis rasmi.

Katanya, ini sekali gus membuatkan dia meminati seniman agung itu sejak kecil lagi terutama filem komedi lakonan lagenda itu.

“Walaupun sekarang ini saya sudah pencen, masih ada lagi ‘peminat’ yang memanggil saya dengan gelaran tersohor itu,” katanya yang mempunyai 44 cucu dan dua cicit.

Difahamkan P Rameli adalah antara dua individu dari negeri ini yang mempunyai nama sama dengan seniman agung itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 January 2019 @ 12:52 PM