MANGSA menunjukkan tingkap rumahnya yang diumpil pencuri. FOTO Adnan Ibrahim.
Adnan Ibrahim
cnews@nstp.com.my


DUA lelaki memecah masuk rumah bekas wakil rakyat sebelum melarikan dua televisyen berukuran 52 dan 40 inci, set audio serta tong gas dalam kejadian di Kluang, pagi tadi.

Kejadian disedari pemilik rumah berkenaan 8.30 pagi tadi selepas mendapati tingkap rumahnya diumpil manakala barang serta pakaian berselerak.

Ketua Polis Daerah Kluang, Mohd Abduh Ismail berkata, kediaman berkenaan adalah rumah kedua pengadu dan mereka meninggalkannya pada Isnin lalu untuk ke pulang ke rumah di Johor Bahru.

“Hasil siasatan Bahagian Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor mendapati dua kesan cap jari ditemui di kabinet ruang tamu selain menemui dua pasang selipar dan satu penutup muka.

“Siasatan mendapati suspek memasuki kediaman mangsa selepas mengumpil tingkap dan usaha mengesan penjenayah sedang giat dijalankan,” katanya kepada NSTP, di sini hari ini.

Mohd Abduh berkata, berikutan kejadian itu, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM7,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkannya ke balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 6:14 PM