LAPORAN Harian Metro semalam
Adnan Ibrahim
cnews@nstp.com.my


HANYA dalam tempoh beberapa jam selepas disiarkan melalui berita online Harian Metro (HM) bertajuk ‘Rindu ibu 13 tahun’, akhirnya dapat mempertemukan remaja berusia 13 tahun, Nur Atiqah Abdullah, dan ibu kandungnya Fauziah Hussin, 36.

Ibu angkat Nur Atiqah, Mazlin Abu Bakar, 38, berkata, berita yang disiarkan dalam HM itu dikongsi oleh laman sosial lain sebelum dibaca oleh ibu kandung Nur Atiqah.

Katanya, selepas membaca berita itu, Fauziah terus menghubungi Nur Atiqah menerusi nombor telefon yang disertakan dalam berita terbabit dan berjanji untuk bekerjasama menyelesaikan masalah berkaitan dokumen penyerahan bagi membolehkan anaknya memiliki Mykad.

“Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan terima kasih atas bantuan HM yang memaparkan kisah anak angkat saya ini kerana selama 13 tahun kami mencari dapat diselesaikan dalam tempoh hanya beberapa jam saja.

“InsyaAllah, dalam tempoh seminggu dua ini kami sekeluarga akan ke kampung ibu kandung Nur Atiqah di Pasir Mas, Kelantan untuk mempertemukan mereka dua beranak dan menyelesaikan perkara berkaitan,” katanya di Kluang hari ini.

Mazlin berkata, daripada perbualan anak angkatnya, ibu kandungnya juga sudah lama mencarinya cuma tidak pasti di mana mereka berada dan tidak tahu mahu berhubung dengan siapa.

“Semoga dengan pertemuan itu nanti bukan sahaja dapat merungkai kerinduan dua beranak itu, malah turut menyelesaikan permohonan Mykad Nur Atiqah seterusnya membolehkannya bersekolah tanpa sebarang masalah,” katanya.

Semalam, remaja perempuan dan ibu angkatnya tampil memohon bantuan orang ramai untuk mengesan ibu kandung Nur Atiqah yang tidak pernah bersua muka selepas lima hari dilahirkan di Hospital Kluang pada 29 Julai 2006 lalu dan diserahkan kepada keluarga angkat.

Ibu kandungnya berpindah dari Kluang sebaik Nur Atiqah diserahkan kepada keluarga angkat tanpa dokumen lengkap dan gagal dikesan hingga sekarang menyebabkan remaja itu berdepan masalah untuk mendapatkan Mykad.

Berita berkaitan

Rindu ibu 13 tahun...

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 4:20 PM