Mohd Zulkifli Zainuddin
mohd.zulkifli@nstp.com.my

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, di Kota Bharu, hari ini.

Baginda yang memakai jubah berwarna krim, tiba di masjid berkenaan kira-kira jam 1.30 tengah hari, diiringi Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Nazran Muhammad dan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Kira-kira 5,000 jemaah menghadiri solat Jumaat itu yang diimamkan Imam Muda masjid berkenaan, Abdul Baari Abdullah.

Abdul Baari turut menyampaikan khutbah mengenai melakukan perbuatan tanpa usul periksa sehingga mendatangkan keburukan kepada diri sendiri.


Sultan Muhammad V (empat kanan) menunaikan solat Jumaat bersama 5,000 jemaah bersama Ahmad (lima kanan) di Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian. FOTO Syamsi Suhaimi

“Jangan kita percayakan sesuatu perkara dan terus menyebarkan kepada orang lain tanpa menyiasat terlebih dahulu, sehingga perbuatan itu akan mengaibkan diri kita sendiri.

“Perbuatan itu tidak baik untuk semua jika kita bersama menyebarkan perkara tidak betul, walhal perkara sebenar belum diketahui sepenuhnya,” katanya.

Sebaik solat Jumaat, Yang di-Pertuan Agong bersama jemaah turut menunaikan solat sunat Hajat bagi mendoakan supaya baginda dikurniakan kesihatan berpanjangan dan kekuatan kerana sudah kembali bertugas.

Sultan Muhammad V sempat bersalaman dengan jemaah sebelum berangkat pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 3:34 PM