TERTUDUH (tengah) diiringi anggota polis di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini. Foto ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my


LELAKI mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini kerana mengugut mahu membunuh bekas anak saudaranya.

Tertuduh, Baharuddin Neshather Abdullah, 56, dari Kampung Laut, Kuala Terengganu mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah dengan hendak menyebabkan kematian terhadap Muhammad Hafiz Kamaruzaman, 26, di sebuah rumah di Bandar Baru Pulau Kambing, jam 6.40 petang pada 19 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan

Mahkamah menetapkan 17 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Zafirah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian itu, mangsa berada di rumahnya bersama ibu saudara yang juga bekas isteri tertuduh dan adiknya didatangi tertuduh.

Tertuduh kemudian bertanya mengenai anaknya sebelum mengamuk mahu memukul dan mengugut mangsa selain turut mengugut mahu membunuh mangsa dan dua ahli lain yang berada di dalam rumah.

Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 5:08 PM