Ahmad Johari Mohd Ali
ajohari@nstp.com.my


PERMOHONAN Kerajaan Malaysia dan empat yang lain untuk membatalkan saman remaja yang kehilangan kepala zakar ketika berkhatan sembilan tahun lalu, akan diputuskan pada 7 Januari ini.

Peguam Eliza Bakar yang mewakili remaja itu selaku plaintif ketika dihubungi berkata, tarikh itu ditetapkan Mahkamah Tinggi yang akan diputuskan Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad.

Katanya, jika permohonan defendan untuk membatalkan saman itu ditolak, kes saman terbabit akan diteruskan dengan perbicaraan.

Selain Kerajaan Malaysia, empat lagi defendan ialah Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lipis, Pahang, Pengarah Hospital, doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang, Selangor.

Remaja itu memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan melalui ibunya selaku plaintif pada 19 Julai tahun lalu.

Plaintif mendakwa, defendan pertama (pembantu perubatan) bersama pembantunya menjalankan prosedur berkhatan dengan kebenaran dan pengetahuan defendan kedua (pegawai perubatan) dan ketiga (pengarah hospital) pada 13 Disember 2010.

Beliau mendakwa, prosedur berkhatan dijalankan ke atas dua kanak-kanak lelaki termasuk anaknya, yang ketika itu berusia 10 tahun, di sebuah premis kediaman di Kuala Lipis, Pahang.

Ketika prosedur berkhatan, plaintif mendakwa defendan pertama tidak mengikut prosedur apabila memotong keseluruhan kepala zakar anaknya dan membuat penyambungan semula dengan menjahitnya tanpa mengikut prosedur betul.

Ketika di Hospital Kuala Lipis, defendan kedua didakwa tidak memberikan rawatan dengan segera, dan tidak memaklumkan kepada plaintif serta anggota keluarganya berhubung insiden itu.

Sebaliknya, plaintif mendakwa dia hanya dimaklumkan saluran kencing anaknya terpotong.

Plaintif mendakwa, anaknya kemudian dibawa ke Hospital Selayang bagi prosedur pembedahan menyambung semula kepala alat sulit dengan penutup getah diletakkan pada kepala zakar.

Selepas masuk hari ke-35, plaintif berkata, dia terperanjat selepas mendapati kepala alat sulit anaknya tidak ada lagi pada batang zakarnya.

Plaintif mendakwa, defendan keempat memberi jaminan bahawa kemungkinan ia akan tumbuh apabila anaknya mencapai usia akhir baligh, namun kepala zakar itu tidak tumbuh apabila anaknya mencapai usia 17 tahun sehingga mengalami kecacatan kekal.

Berita berkaitan

Kes putus 'anu': Kakitangan kena panggil

Remaja putus 'anu' fail saman [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 3:22 PM