TABUNG terbabit. FOTO Ihsan Polis
Zuliaty Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


LELAKI ditahan selepas dipercayai mencuri RM13 dari tabung Masjid Ar Rahman di Kampung Padang Perahu, Jitra, dengan menggunakan dawai yang diubah suai, semalam.

Dalam kejadian 11 pagi itu, suspek berusia 22 tahun terbabit ditahan selepas melakukan perbuatan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, kejadian disedari penduduk yang melihat kelibat seorang lelaki berlari masuk ke tandas wanita di masjid itu.

Katanya, penduduk berusia 42 tahun itu kemudian memanggil beberapa rakannya sebelum menyuruh suspek keluar dari tandas berkenaan.

“Penduduk kampung itu mengesyaki sesuatu apabila mendapati kipas terpasang dalam ruang solat selain keadaan tabung masjid itu berubah dari kedudukan asal.

“Mereka kemudian memanggil setiausaha masjid untuk melihat semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum ia menunjukkan suspek mencuri wang dari tabung itu,” katanya.

Beliau berkata, susulan itu, penduduk menghubungi polis yang kemudian memberkas semula suspek.

“Hasil pemeriksaan turut menemui peralatan untuk mencuri wang tabung masjid itu termasuklah dawai yang diubah suai,” katanya.

Mohd Ismail berkata, penduduk kampung mendakwa ini adalah kejadian kedua membabitkan kes kecurian tabung di masjid itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 11:12 AM