KLINIK desa di Kampung Sijangkang, Kuala Langat, yang musnah terbakar malam tadi. FOTO ihsan bomba.
Faliq Lajim
cnews@nstp.com.my


SEBUAH klinik desa di Kampung Sijangkang, Kuala Langat, musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Telok Panglima Garang, Hafizie Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.34 malam berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, seramai 27 anggota dari BBP Telok Panglima Garang, BBP Pelabuhan Klang dan BBP Banting dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran.

“Ketika sampai, kami mendapati klinik itu sudah terbakar 100 peratus berikutan struktur diperbuat daripada kayu.

“Api berjaya dikawal serta dipadamkan sepenuhnya pada 9.07 malam. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihaknya turut mendapat bantuan daripada empat anggota polis dan dua kakitangan syarikat utiliti Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Ketika ini, kami sedang membuat pemeriksaan menyeluruh kawasan kebakaran bagi memastikan tiada ancaman berbahaya lain kepada penduduk.

“Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 12:22 AM