LOW Meng Kong diburu polis bagi membantu siasatan kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. FOTO ihsan polis.
Hasbi Sidek
cnews@nstp.com.my


POLIS Kajang sedang mengesan seorang lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan satu kes bunuh lelaki di dalam bilik hotel di Sungai Chua pada 31 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusof, berkata, suspek dikenali sebagai Low Meng Kong, 18.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang memohon bantuan orang ramai untuk mengesan suspek yang dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Suspek beralamat di B2-16, Flat Kajang Mewah, Taman Kajang Mewah, Sungai Chua, Kajang, dikenali sebagai Low Meng Kong,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau meminta kepada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Ismail Ahmad di talian 019-2306107 atau salurkan kepada balai polis yang berdekatan.

Harian Metro pada 4 September tahun lalu melaporkan kematian seorang lelaki di dalam bilik hotel di Sungai Chua, terjawab apabila mangsa disahkan mati dibunuh susulan penemuan kesan hentakan di kepala.

Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff dilaporkan berkata, bedah siasat terhadap mayat mangsa berusia 25 tahun itu di Hospital Serdang mendapati mangsa maut akibat kecederaan di kepala.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 7:45 PM