ORANG ramai mula menggunakan pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 bermula semalam.
Syalikha Sazili
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Sempena menyambut kedatangan tahun baru, orang ramai yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam dilihat mengambil peluang mendapatkan pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 yang dikeluarkan Rapid KL.

Pas eksklusif bagi kegunaan warga tempatan itu adalah inisiatif kerajaan dalam mengalakkan masyarakat menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

Tinjauan di sekitar KL Sentral dan Pasar Seni mendapati pengguna lebih selesa dengan penggunaan pas tanpa had ini.

Bagi Hasnah Hassan, 33, yang menggunakan pas bulanan My100 berkata, pembelian pas bulanan itu memberi penjimatan berganda memandangkan dia sering menggunakan pengangkutan awam.

“Setiap hari saya menggunakan LRT untuk ke tempat kerja. Kos pergi dan balik bagi sehari lebih RM10.

“Justeru, My100 ini sangat menjimatkan apatah lagi untuk berjalan pada hujung minggu,” katanya.

Pengguna Vun Lih Mey, 26, yang sering menggunakan MRT dan LRT turut menggunakan pas bulanan My100.

“Kos pengangkutan awam yang saya perlu bayar untuk sebulan melebihi RM100.

“Inisiatif kerajaan ini perlu diteruskan memandangkan kos sara hidup semakin tinggi.

“Penjimatan dalam sektor pengangkutan awam adalah permulaan yang baik bagi tahun baru,” katanya.


ORANG ramai mendengar penerangan kakitangan RapidKL mengenai pas perjalanan tanpa had.

Pas perjalanan My100 akan memberi akses tanpa had untuk semua perkhidmatan yang disediakan Rapid KL daripada monorel, LRT, MRT, Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway, bas perantara MRT dan bas ganti-ganti Rapid KL dengan hanya membayar RM100 untuk tempoh perjalanan selama 30 hari.

Sementara itu, Marbus Idris, 52, pula memanfaatkan My50 bagi kegunaan bas.

“Pas bulanan ini membolehkan saya bejimat sekitar 20 dan 30 peratus.

“Memandangkan tren juga mempunyai pas bulanan My100, saya turut bercadang membelinya,” katanya.

Pakej My50 yang berharga RM50 juga mempunyai tempoh hayat selama 30 hari.

Ia memberikan penggunaan tanpa had untuk semua perkhidmatan bas Rapid KL yang beroperasi untuk lebih 180 laluan di Lembah Klang dan Selangor serta perkhidmatan bas perantara MRT.

Pengguna hanya perlu membawa kad pengenalan MyKad dan kad MyTentera untuk anggota tentera ke stesen LRT, MRT, BRT atau monorel untuk mendaftar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 10:34 AM