MINUMAN keras tidak memiliki kelulusan Jabatan Kastam yang dirampas. FOTO ihsan Pasukan Polis Marin
Mohd Roji Kawi
mdroji@nstp.com.my


SINDIKET penyeludupan di daerah Sarikei dikesan menggunakan van jenazah untuk mengangkut minuman keras bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Taktik sindiket berkenaan berjaya dihidu sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Sarawak, yang menjalankan risikan sejak beberapa hari lalu.

Jurucakap PPM Wilayah 5 berkata, hasil risikan itu, pihaknya membuat serbuan di premis syarikat pengurusan jenazah di Sarikei, kira-kira 1 tengah hari, semalam.

Beliau berkata, hasil serbuan itu yang dilaksanakan bersama anggota PPM Sarikei dan Sibu itu, pihaknya menemui sejumlah kotak minuman keras di dalam van itu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, semua minuman keras itu tidak memiliki sebarang kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan mereka sengaja menggunakan van mayat untuk mengangkutnya bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Minuman keras yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM145,725 dan kes berkenaan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia,” katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Limbang, anggota PPM yang menjalankan Ops Landai merampas sejumlah minuman keras yang diseludup menggunakan bot ekspres.

Jurucakap itu berkata, dalam kejadian 5.15 petang semalam, dua anggota peronda PPM membuat pemeriksaan terhadap bot ekspres terbabit di jeti persendirian di Kilometer 2, Jalan Kubung, Limbang.

“Hasil pemeriksaan itu, PPM menemui 17 kotak minuman keras yang tidak mempunyai dokumen pengedaran yang disyaki cuba mengelak cukai.

“Rampasan dibuat sebelum minuman keras itu dibawa ke Markas Taktikal PPM di Limbang,” katanya sambil memaklumkan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1,360.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 6:05 PM