ANGGOTA bomba memadam kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 337.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Bidor. FOTO Ihsan Bomba
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


REMAJA lelaki maut selepas tercampak keluar daripada kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya di Kilometer 337.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Bidor, di Tapah awal pagi, hari ini.

Dalam kejadian 4.40 pagi itu, MPV jenis Proton Exora yang dipandu remaja terbabit turut musnah terbakar, namun tiada mangsa lain di dalam kenderaan itu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pemandu kenderaan itu, Ng Yik Soon, 18, yang beralamat di Taman Daya, Bidor, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Kecemasan Hospital Tapah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan menuju ke arah Kuala Lumpur dan sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai terbabas sendiri dan melanggar pengadang besi di kiri jalan hingga melepasi longkang dan kenderaannya terbakar, manakala mangsa tercampak keluar.

“Pemandu yang tercampak ke lorong kiri lebuh raya itu parah dan di bawa ke hospital dengan ambulans sebelum meninggal dunia di unit kecemasan.

“Siasatan mendapati hanya remaja lelaki terbabit yang berada dalam MPV berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Wan Azharuddin berkata, susulan kejadian itu juga kenderaan dipandu mangsa terbakar keseluruhannya dan mayat remaja terbabit dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah serta bedah siasat akan dijalankan pada 10 pagi ini untuk mengesahkan punca kematian.

Menurutnya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian daripada orang awam dan sebaik tiba di lokasi mendapati api sedang marak membakar hampir 90 peratus MPV berkenaan.

Menurutnya, operasi pemadaman diketuai Muhammad Zaini Jamaluddin dan dibantu BBP Tapah dijalankan menggunakan satu aliran bersumberkan air tangki jentera bomba.

“Terdapat seorang pemandu yang tercampak keluar daripada kenderaan itu dan dibawa ke hospital dengan ambulans.

“Operasi memadam kebakaran MPV itu selesai dan ditamatkan 5.16 pagi dan tiada mangsa lain ditemui dalam kenderaan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 January 2019 @ 9:55 AM