KEADAAN ombak besar yang membadai Pantai Sura Tengah, Dungun, iaitu lokasi tiga beradik lemas, petang semalam. Gambar kecil, Azri. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


PENDUDUK kampung serta nelayan di Dungun kesal apabila kejadian lemas terus berlaku pada ketika tempoh ‘edah’ tutup kuala masih belum tamat.

Nelayan, Mohamad Abdul Ghani, 62, berkata, menurut orang tua, istilah tutup kuala bermakna tiada sebarang aktiviti pantai dilakukan termasuk nelayan tidak dibenarkan turun ke laut.

“Edah tutup kuala bermula Oktober hingga Februari kerana sepanjang waktu edah itu akan berlaku musim tengkujuh yang disertai ombak dan angin kencang.

“Kalau dulu apabila musim tutup kuala bermula, seluruh nelayan di pantai timur tidak berani keluar menangkap ikan termasuk mandi atau bermain di tepi pantai biarpun keadaan air di pesisir laut nampak tenang,” katanya.

Mohamad berkata, generasi baru sudah tidak tahu tentang edah itu, sebaliknya lebih seronok bermain di pesisir pantai tanpa perasaan takut.

Katanya, bermula awal Januari nanti, akan muncul ombak ‘berbisa’ yang pastinya ditakuti nelayan dan keadaan ini sudah mula dirasai sejak semalam menyebabkan ramai nelayan tidak keluar ke laut.

“Ombak ini muncul dalam masa seminggu dan badai yang melanda bukan saja boleh menyebabkan bot nelayan berkecai, malah boleh mengorbankan nyawa,” katanya.

Seorang penduduk, Azri Abdullah, 49, berkata kejadian lemas di Pantai Sura Tengah setakat ini sudah mengorbankan lima nyawa termasuk kes terbaru semalam yang mengorbankan tiga beradik.

“Kejadian pada Disember 2013 menyebabkan seorang pemuda Ghafar Manaf, 32, dari Sabah hilang ketika mandi di situ yang sehingga kini jasadnya tidak ditemui.

“Diikuti pada Februari 2016, selepas seorang pelajar, Mohd Firdaus Sulong, 17, lemas dipukul ombak besar ketika mencari remis dan mayat mangsa ditemui keesokan hari,” katanya.

Katanya, dalam tempoh musim tengkujuh itu, penduduk kampung bukan sahaja takut untuk mandi, malah tidak berani bermain di tepi pantai.

Berita berkaitan

'Terkenang ciuman terakhir tiga beradik [METROTV]'

'Anak-anak akan berdoa bertemu kami di syurga'

Ibu pengsan lihat jenazah tiga anak

[UPDATE] Mayat dua daripada tiga beradik lemas ditemui

Guna kaedah pencarian di pesisir pantai

'[UPDATE] Tiga beradik berpelukan selepas dipukul ombak'

'Tiga beradik hilang ditarik ombak'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 11:31 PM