INTAN Mazura tersepit selepas kereta Perodua Myvi dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan lori dan dua kenderaan lain di Kilometer 8, Jalan Dungun-Bukit Besi, Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


“PASAL tu saya elak, kalau tak elak mungkin wanita itu bersama tiga anaknya boleh terbunuh,” kata pemandu lori, Zul Zuraimi Ghazali, 38, selepas lorinya terbabit kemalangan dengan kereta Perodua Myvi serta dua lagi kenderaan di Kilometer 8, Jalan Dungun-Bukit Besi, Dungun, hari ini.

Dalam kemalangan 3.10 petang itu, guru terbabit, Intan Mazura Abdul Aziz, 51, dilaporkan parah manakala tiga anaknya cedera ringan.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Myvi dipandu guru terbabit terbabas sebelum melanggar bahagian tengah lori terbabit.

Pada masa sama, sebuah kereta Proton Exora dipandu Mohamed Mustakim Mohamed, 45, yang mengelak kemalangan itu berhenti di tepi jalan.

Secara tiba-tiba, sebuah treler membawa muatan simen dipandu Manan Mamat, 57, dikatakan cuba mengelak lori terbabit sebelum bergesel dengan Proton Exora berkenaan.

Zul Zuraimi berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan mengambil barang di Kampung Padang Pulut.

“Ketika itu hujan agak lebat dan kereta itu secara tiba-tiba masuk ke laluan saya sebelum melanggar lori saya.

“Saya turun dan mahu menyelamatkan guru itu namun gagal kerana dia tersepit berikutan bahagian depan keretanya remuk teruk,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Dungun, Penolong Penguasa Bomba Saifuddin Mohamad berkata, lima anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan guru terbabit yang tersepit di tempat pemandu.

“Ketika itu, tiga anaknya dikeluarkan orang ramai dan mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Dungun dengan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 11:03 PM