ANGGOTA bomba dan penyelamat bertungkus lumus memadamkan kebakaran yang meragut nyawa wanita Orang Kurang Upaya (OKU) pekak dan bisu yang dikenali sebagai Mok Su, 40 dalam kebakaran di kedai makan di Jalan Gajah Mati, Kota Bharu, awal pagi hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris
cnews@nstp.com.my


WANITA orang kurang upaya (OKU) rentung dalam kebakaran di kedai makan di Jalan Gajah Mati, Kota Bharu, 5.50 pagi hari ini.

Mangsa yang pekak dan bisu dikenali sebagai Mok Su, 40, yang juga pekerja di premis itu ditemui pasukan bomba pada 7.17 pagi.

Pemilik kedai makan, Zaidah Mohd Istiak, 50, berkata, semasa kejadian dia sedang tidur di tingkat bawah premis berkenaan bersama ibu saudara serta seorang cucunya yang berusia enam tahun.

“Saya tersedar dan melihat api sudah marak di ruang dalam kedai dan terus menjerit sekuatnya untuk mengejutkan orang lain termasuk dua lagi pekerja yang tidur di tingkat atas.

“Seorang pekerja lelaki sempat terjun untuk menyelamatkan diri manakala Mok Su gagal keluar dari bilik disebabkan api terus marak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Zaidah berkata, dia terpaksa memecahkan pintu belakang premis untuk keluar kerana ruang hadapan dalam kedai sudah tidak dapat dilalui.

Dia yang menghidap migrain serta gastrik juga gagal mencapai bekalan ubat disebabkan panik dan hanya sempat mencapai tangan ibu saudara dan cucunya sahaja.

Mereka tinggal sehelai sepinggang dan lebih menyedihkan semua keperluan persekolahan cucu Zaidah, Nur Alisya Mohd Rizuan, yang akan masuk Tahun Satu esok, turut hangus.

Sementara itu Ketua Zon Kota Bharu, Pegawai Kanan Bomba II, Syobirin Abd Kadir berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.56 pagi dan tujuh jentera bomba dengan 31 anggota dari Balai Bomba Kota Bharu, Darul Naim dan Tunjong bergegas ke lokasi.

“Kebakaran membabitkan dua premis kedai makan dan sebuah rumah kediaman.

“Sebaik tiba, kebakaran sudah pun 70 peratus dan api dapat dikawal pada 6.10 pagi,” katanya memberitahu punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 10:17 AM