ANGGOTA Unit Pemusnah Bom PDRM berpakaian khas kalis bom memeriksa lokasi kejadian letupan yang berlaku di kedai emas di Segama, Kota Kinabalu. FOTO Malai Rosmah Tuah
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


“SAYA dengar letupan kuat dan ingatkan ada orang sambut tahun baharu,” kata pengawal keselamatan, Mahlil Ludin, 63, yang berada berhampiran lokasi insiden letupan di kedai emas di Segama, Kota Kinabalu, awal pagi hari ini.

Mahlil berkata, ketika kejadian 2.30 pagi itu, dia sedang bertugas di bangunan pejabat pos berhadapan kedai emas berkenaan.

“Saya tidak sangka letupan itu datang dari kedai emas. Saya cuma dengar letupan, namun tidak nampak sesiapa di sana dan terdapat asap keluar dari kedai itu.

“Orang ramai yang dengar letupan bergegas ke lokasi dan mendapati pintu kedai emas sudah pecah sebelum ada yang menghubungi polis,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mahlil berkata, letupan itu adalah kejadian pertama sepanjang lebih lima tahun dia bekerja sebagai pengawal keselamatan di bangunan itu.

“Ini kejadian letupan pertama saya nampak. Mujur tiada orang yang cedera,” katanya.

Tinjauan NSTP mendapati, pintu kedai emas itu didapati pecah dan rosak akibat letupan yang kuat.

Pasukan polis termasuk Unit Forensik, Unit Pemusnah Bom dan Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dihantar ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan dan siasatan di kedai emas itu.

Tiada kehilangan barang kemas dilaporkan walaupun pintu jeriji premis dapat dipecahkan.

Berita berkaitan

Letup kedai emas, cuba pecah masuk

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 9:01 AM