ANTARA motosikal curi yang ditemui semula tahun ini. FOTO arkib NSTP
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@nstp.com.my


JENAYAH curi motosikal dalam kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri direkodkan sebagai jenayah paling tinggi berlaku sepanjang tahun ini.

Kes kecurian motosikal juga dicatatkan berlaku peningkatan berbanding dalam tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kes kecurian motosikal meningkat 65 kes berbanding 336 kes yang direkodkan dalam tempoh Januari sehingga 29 Disember tahun lalu.

“Kawasan yang dilaporkan menjadi tumpuan jenayah ini adalah membabitkan Gelang Patah, Kangkar Pulai dan Nusa Bestari.

“Kawasan ini menjadi tumpuan kerana ia adalah kawasan orang ramai yang bekerja di Singapura meletakkan motosikal mereka.

“Saya mahu menasihatkan orang ramai supaya memberi lebih perhatian kepada keselamatan motosikal mereka terutamanya di kawasan yang sudah dikenal pasti sebagai kawasan panas,” katanya ketika ditemui pada Program Hari Bertemu Pelanggan peringkat IPD Iskandar Puteri, hari ini.


DZULKHAIRI beramah mesra dengan orang ramai yang hadir. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein

Menurut Dzulkhairi, kes jenayah yang membabitkan lain-lain kecurian juga turut dilaporkan mengalami peningkatan.

“Kes kecurian lain-lain ini adalah seperti kecurian dalam pasar raya yang meningkat 25 kes kepada 174 kes dari Januari sehingga 29 Disember tahun ini. Pada tahun lalu, kita hanya merekodkan 149 kes dalam tempoh sama,” katanya.

Bagaimanapun, Dzulkhairi berkata, secara keseluruhan kes jenayah di sekitar kawasan IPD Iskandar Puteri masih terkawal.

“IPD Iskandar Puteri masih lagi dilaporkan sebagai kawasan yang selamat untuk didiami dan saya ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak gusar dengan keselamatan di kawasan ini kerana ia masih lagi terkawal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 7:02 PM