Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


DUA pemandu kereta maut dan seorang kanak-kanak cedera dalam kemalangan di Kilometer 12.3, Jalan Paka-Bandar Al Muktaffi Billah Shah AMBS, dekat Ketengah Jaya, Dungun, hari ini.

Dalam kemalangan 8.30 pagi itu, pemandu Proton Satria, Muhamad Hisyam Alimun, 26 dan pemandu kereta Honda Civic, Fazroazahar Rahim, 34, maut di tempat kejadian.

Anak saudara Muhammad Hisyam, Airill Sarojini, 9, yang duduk di sebelah pemandu, cedera di muka dan dikejarkan Klinik Kesihatan Ketengah Jaya untuk menerima rawatan.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Satria dari arah Ketengah Jaya dipercayai terbabas ke kanan jalan sebelum bertembung dengan Honda Civic terbabit.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Paka, Mohd Rezuan Adnan berkata, pihaknya menerima panggilan pada 8.47 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian bersama enam anggota.

Katanya, pihaknya mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa di dalam kereta Proton Satria terbabit manakala pemandu Honda Civic sudah dikeluarkan orang ramai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

“Kes berkenaan akan disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 11:36 AM
KEADAAN kereta Proton Satria yang terbabit dalam kemalangan dengan kereta Honda Civic di Kilometer 12.3, Jalan Paka-Bandar Al Muktaffi Billah Shah AMBS, dekat Ketengah Jaya yang mengorbankan dua pemandu kereta, hari ini. FOTO Rosli Ilham