ANTARA pekerja mempromosikan kegiatan perjudian yang ditahan dalam serbuan di Taman Seri Taming, Kajang. FOTO Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@nstp.com.my


POLIS menyerbu rumah yang dijadikan 'markas' untuk mempromosikan perjudian dalam talian melalui laman sosial di Taman Seri Taming, Kajang, hari ini.

Serbuan 5 petang itu, dilakukan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, sindiket berkenaan mempromosi iklan perjudian melalui sistem pesanan ringkas (SMS), Whatsapp dan Facebook kepada pelanggan secara rawak.

"Ketika diserbu rata-rata pekerja terbabit sedang leka memancing pelanggan dan menerima pertaruhan melalui talian.

"Premis terbabit di katakan menjadi markas mempromosi kegiatan perjudian,"katanya selepas tamat operasi berkenaan.

Mohd Khaizam berkata, pekerja di premis terbabit diberikan nombor telefon oleh pengurus dan menghantar serta menghubungi pelanggan bagi promosi perjudian terbabit kepada nombor yang di berikan.

"Serbuan menahan tiga lelaki dan tiga wanita dipercayai pekerja di premis terbabit.

"Selain itu, polis merampas tiga set komputer, kad bank, buku cek dan 18 telefon pintar serta peralatan internet bagi kegiatan berkenaan,"katanya.

Katanya, pihaknya percaya sindiket berkenaan beroperasi sejak dua bulan lalu.

"Semua rampasan dan individu yang ditahan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 11:25 PM