Mohd Sabran Md Sani
sab@nstp.com.my


PELBAGAI reaksi diterima daripada netizen berikutan tular video pengumuman pewartaan kawasan larangan merokok oleh Unit Promosi Kesihatan Jabatan Kesihatan Johor Bahru di media sosial, hari ini.

Video pendek berdurasi kira-kira satu minit dan enam saat itu memperlihatkan van pejabat kesihatan berkenaan menggunakan alat pembesar suara mengenai pewartaan terbabit.

Menerusi hebahan itu, mulai 1 Januari 2019, semua premis makanan seperti restoran, rumah kedai, kedai kopi, kedai makanan trak dan gerai makanan terbuma diwartakan kawasan larangan merokok.

"Kawasan larangan termasuk tiga meter dari bangunan dan tiga meter dari kerusi makan yang diletak di luar bangunan," dipetik daripada pengumuman itu.

Pengumuman itu menyatakan denda RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun untuk individu, manakala pemilik premis berdepan denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.

"Bagi kesalahan tidak mempamerkan tanda larangan merokok denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan," katanya.

Sementara itu netizen memberi pelbagai maklumbalas mengenai usaha dilakukan pihak berwajib, selain ada yang menyindir usaha itu kerana meniru negara jiran Singapura.

Mereka mahu perkara itu dikaji kerana meskipun banyak tempat kawasan merokok, tetapi perokok di negara jiran tetap disediakan kawasan merokok.

Netizen juga ada yang menyambut baik usaha mewartakan kawasan larangan merokok terutama mereka yang mempunyai anak-anak kecil.

"Alhamdulillah. Terima kasih banyak-banyak la kepada pihak berkuasa. Kesian la dekat keluarga yang bawa anak kecil dan ibu mengandung," kongsi seorang netizen di laman sosial.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Selahuddeen Abd Aziz ketika dihubungi berkata usaha dilaksanakan itu bagi memberikan maklumat mengenai pewartaan kawasan larangan merokok.

"Penggunaan sistem pembesar suara menggunakan kenderaan jabatan kerap dilakukan terutama hebahan mengenai denggi.

"Sempena pewartaan kawasan larangan merokok awal Januari ini, fokus hebahan dilakukan di premis menjual makanan memberi pengetahuan mengenai pewartaan terbabit," katanya.

Jabatan Kesihatan Johor juga katanya sudah mengadakan pertemuan bersama pemilik restoran, badan bukan kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) sepanjang Disember lalu mengenai pewartaan terbabit.

Katanya, setiap pejabat kesihatan daerah akan melakukan hebahan sama bagi tujuan pemberitahuan dengan pejabat kesihatan melaksanakan usaha itu hari ini seperti Johor Bahru, Segamat dan Mersing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 11:25 PM
PETIKAN daripada video hebahan pewartaan kawasan larangan merokok oleh Unit Promosi Kesihatan Pejabat Kesihatan Johor Bahru. FOTO Facebook Peon JB