MUFTI Kedah, Datuk Fadzil Awang (tengah) menerima replika cek pembayaran zakat daripada Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan (kanan). Turut bersama Zakaria.
Petah Wazzan Iskandar
Wazzan@nstp.com.my


ALOR SETAR: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) membidas negeri tertentu yang menghantar ejen untuk mengutip zakat di negeri lain di mana secara jelas melanggar pensyariatan zakat hingga menjejaskan kutipan agensi yang dipertanggungjawabkan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zakaria Othman berkata, pihaknya mengesan aktiviti terbabit yang jelas melanggar undang-undang sedia ada, pada masa sama menjejaskan hasil kutipan yang sepatutnya memberi manfaat kepada penduduk Kedah.

Beliau berkata, perkara ini adalah isu nasional yang mana mereka guna istilah zakat merentasi sempadan biarpun ia agak sensitif tetapi perlu dibahaskan.

“Malah, Selangor dan Wilayah Persekutuan sudah menangkap dan mengambil tindakan undang-undang ke atas ejen yang mewakili negeri terbabit.

“Bagaimanapun, LZNK masih mempunyai ruang sebelum tindakan perundangan kerana kita mengambil pendekatan yang selaras pensyariatan zakat namun akan mengambil tindakan apabila masanya sudah tiba,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Bersama Syarikat Korporat dan Agihan Balik Zakat di Pusat Konvensyen dan Hotel Tabung Haji di sini, semalam.

Zakaria berkata, pihaknya tidak menyalahkan pembayar zakat kerana mereka hanya mahu membayar tetapi tidak tahu kesalahan yang dilakukan ejen.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 11:08 AM