FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my


BURUH dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini, selepas mengaku salah atas pertuduhan mencuri duit tabung masjid bernilai RM62.

Penolong Kanan Pendaftar Noradila Ab Latif yang bertindak sebagai Majistret menjatuhkan hukuman itu kepada tertuduh, Muhammad Afizawani Matang, 43.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri duit tabung sebanyak RM62 di Masjid Gelugor Haji Tahir, Gelugor Kedai, di Kuala Terengganu, jam 2.45 petang pada 21 Disember lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zafirah Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, tiga lelaki melihat berada di bilik kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan.

Menerusi CCTV, mereka melihat tertuduh memasuki masjid dan dalam keadaan mencurigakan.

Mereka kemudian membuat pemeriksaan di ruang hadapan masjid dan mendapati tertuduh sedang ‘mengait’ duit tabung masjid menggunakan sebatang besi.

Seorang daripada mereka memaklumkan kejadian itu kepada ahli jawatankuasa masjid sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 6:52 PM