Mohd Fahmi Mohd Yusof
mohdfahmi@nstp.com.my


ADIK kepada kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang meninggal dunia selepas disyaki menjadi mangsa dera ibu tirinya di rumah mereka dekat Bandar Dato’ Onn di Johor Bahru, dipercayai turut menjadi mangsa dera.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Mohd Afzanizam Yahaya berkata, kanak-kanak berusia tiga tahun itu kini ditempatkan di wad khas kanak-kanak untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, kanak-kanak itu kini dijaga ibu kandungnya dan dipantau doktor pakar untuk memberi rawatan sewajarnya.

“Memang terdapat kesan lebam pada adik mangsa di beberapa bahagian badan, namun saya difahamkan petang ini ibu kandung kanak-kanak itu akan membuat laporan polis.

“Kita sedang menunggu laporan dibuat ibu kandung kanak-kanak ini dan kemudian baru polis akan buka kertas siasatan baharu mengikut Akta Kanak-kanak 2001 kerana mendatangkan kecederaan (Seksyen 31(1)(a)),” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Dalam kejadian semalam, NSTP melaporkan mangsa dipercayai pengsan ketika dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru, oleh ibu bapanya, namun disahkan meninggal dunia oleh doktor di wad kecemasan hospital berkenaan.

Mohd Afzanizam berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu selepas doktor yang merawat mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Taman Perling kira-kira 1 pagi, semalam.

Polis turut mengesahkan punca kematian kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu disebabkan hentakan benda tumpul.

Berita berkaitan

Budak maut didera ibu tiri

Kes dera: Maut akibat hentakan benda tumpul

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 5:24 PM