Amin Ridzuan Ishak
cnews@nstp.com.my


BERANG kerana ditegur memotong barisan untuk membuat pembayaran, lelaki dipercayai kurang siuman mencederakan warga emas menggunakan pisau di sebuah premis di Jalan Sultan Abdullah di Pekan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa yang berusia 67 tahun mengalami luka di bahu, dagu dan leher.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek, berkata siasatan polis mendapati ketika kejadian mangsa sedang beratur dalam barisan untuk membuat pembayaran dan suspek yang berusia 53 tahun melanggarnya serta memotong barisan.

“Ia menyebabkan mangsa terjatuh dan menegur suspek supaya bersabar.

“Akibat daripada teguran oleh mangsa itu, suspek terus mencederakan mangsa menggunakan senjata tajam sebelum terus melarikan diri dari kedai itu,” katanya dalam satu kenyataan media di Pekan, hari ini.

Amran berkata, pihaknya yang menerima maklumat mengenainya terus menggerakkan operasi memburu suspek dan dua anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Dua anggota itu berjaya mengesan suspek di belakang bank di Jalan Bandar Pekan yang sedang memegang pisau.

“Anggota polis itu berjaya memujuk suspek supaya menyerah diri dan dibawa ke Balai Polis Pekan untuk siasatan,” katanya.

Katanya, mangsa yang dirawat di Hospital Pekan dilaporkan dalam keadaan stabil dan keterangannya sudah diambil untuk membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Suspek dipercayai kurang siuman dan mempunyai rekod perubatan berkaitan masalah mental dan selalu dilihat belegar-legar di bandar Pekan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 4:37 PM