LALUAN pejalan kaki yang rosak dan berlubang akibat tindakan pemilik restoran meletakkan batu sebagai 'alas' kepada gerai makan yang diletakkan di lorong pejalan kaki menyebabkan laluan terbabit rosak dan berlubang di Jalan Landak, Kuala Lumpur. FOTO Ihsan DBKL
Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my


LALUAN pejalan kaki di Jalan Landak, Kuala Lumpur, rosak dan berlubang akibat sikap tidak bertanggungjawab pemilik gerai yang meletakkan batu sebagai alas gerai mereka di atas laluan itu.

Pengarah Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Azman Mahmood berkata, dalam Operasi Tegas (Op Tegas) Siri 52 yang dijalankan di Pasar Pudu dan Jalan Landak, semalam mendapati, terdapat laluan pejalan kaki yang mengalami kerosakan akibat tindakan itu.

“Dalam operasi bermula 8.30 pagi itu, kami menjalankan pemeriksaan terhadap beberapa restoran di dua lokasi iaitu di Pasar Pudu dan Jalan Landak. Pemeriksaan di Jalan Landak mendapati terdapat kedai makan meletakkan gerai di laluan pejalan kaki.

“Malah, pemeriksaan terhadap gerai berkenaan mendapati terdapat batu diletakkan di bawah gerai berkenaan. Kebiasaannya premis yang membuat kesalahan sebegini akan meletakkan gerai beroda.

“Ia bertujuan supaya senang bagi pemilik menarik gerai jika terserempak dengan anggota penguatkuasa. Jadi, batu itu mungkin bagi memudahkan pemilik mengalihkan gerai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azman berkata, pihaknya turut menyita beberapa kerusi dan meja diletakkan di kawasan larangan yang menyebabkan halangan kepada laluan di lokasi terbabit.

“Kami membuat pemeriksaan terhadap 12 premis dan gerai termasuk penjaja warga asing membabitkan warga Myanmar, Bangladesh serta Indonesia.

“Semua barang yang disita dibawa ke stor sitaan sebaik operasi berakhir kira-kira 3.00 petang untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 46 (1) d Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan membuat UUK 3 (1) Undang-Undang Perlesenan dan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 4:05 PM