JENAZAH pemuda berusia 39, yang terjun dari jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia LKIM Dungun kelmarin ditemui hari ini dan mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


LELAKI yang terjun ke muara dekat Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Dungun, semalam, ditemui lemas tengah hari, hari ini.

Mayat pemuda berusia 39 tahun itu ditemui pada jarak kira-kira tiga kilometer daripada tempat dia dilaporkan terjun.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui mayat mangsa kira-kira 1 tengah hari.

Menurutnya, seramai 40 anggota terdiri daripada polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), nelayan dan penduduk kampung menyambung operasi SAR kira-kira 8 pagi tadi.

“Kita juga mendapat khidmat dua anjing pengesan ‘Pop dan Lady’ dari Unit Anjing Pengesan Bomba dan kita memperluaskan kawasan pencarian sekitar lima kilometer.

“Mayat mangsa sudah ditemui di lokasi kejadian dalam keadaan tersangkut di akar pokok tepi sungai terbabit,” katanya.

Katanya, jenazah mangsa kemudian dibawa naik ke Jeti LKIM sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

Dalam kejadian 4.45 petang semalam, lelaki terbabit bertindak terjun dipercayai ternampak beberapa anggota polis masuk ke kawasan kompleks terbabit.

Seorang pengusaha bot nelayan yang menyaksikan kejadian itu, berusaha menyelamatkan mangsa dengan meminta mangsa memegang buluh panjang yang dihulurkan, namun mangsa tidak melayan permintaannya itu sebelum tenggelam ke dasar sungai.

Berita berkaitan

'Kalau pegang buluh, mesti dia selamat'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 2:35 PM