MUHAMMAD Aminuddin (kanan) membakar sate di tapak ekspo di Sik. FOTO ihsan Muhammad Aminuddin Abd Hadi
Noorazura Abdul Rahman

HANYA bermodalkan RM500, penuntut Kolej Komuniti Sik (KKS) menjana pendapatan sehingga RM5,000 sebulan dengan menjual sate sejuk beku.

Muhammad Aminuddin Abd Hadi, 20, berkata, kejayaan menghasilkan resipi itu adalah hasil tunjuk ajar tenaga pengajar kursus pemprosesan hasil daging dan ayam di kolej terbabit tahun lalu.

Katanya, dia pada mulanya bersama lima lagi rakan sekelas menghasilkan resipi sate itu secara bersama pada Ogos tahun lalu.

“Tiada seorang pun daripada kami yang tahu resipi sate dan kuah kacang. Kami hanya mencuba dan terus mencuba sehingga rasanya sedap seperti sekarang.

“Kemudian kami membuat promosi di media sosial dan turut dibantu KKS. Pada mulanya tidak ramai yang membuat tempahan menyebabkan rakan lain membawa haluan masing-masing,” katanya yang memiliki Sijil Pemprosesan dan Kawalan Mutu Makanan.

Aminuddin berkata, dia bagaimanapun meneruskan jualan sate yang dinamakan Kis Satay Cafe, Kolej Komuniti Sik, bersama tiga rakan baharu dengan setiap sepuluh cucuk dijual pada harga RM8.

Katanya, berkat kesabaran, mereka kini berjaya menembusi pasaran Kedah, Perak, Pulau Pinang dan juga Kuala Lumpur.

“Saya kini menyambung pengajian dalam jurusan Diploma Teknologi Makanan di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, awal bulan lalu, dan masih meneruskan jualan sate dibantu tiga rakan.

“Alhamdulillah, usaha saya diiktiraf Kementerian Pendidikan apabila pada 30 November lalu saya berjaya menerima Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan 2018,” katanya.


MUHAMMAD Aminuddin (dua kiri) menerima daripada Kementerian Pendidikan. FOTO ihsan Muhammad Aminuddin Abd Hadi

Ditanya mengenai perancangan masa depan, Amin berkata, dia akan melakukan inovasi dan meluaskan perniagaannya disamping menyambung pengajian ke peringkat tertinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Disember 2018 @ 9:27 PM