OPERASI pencarian mangsa. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


“PEGANG buluh itu, kalau kau tak pegang kau akan mati.” Itu rayuan pengusaha bot, Mohd Yasim Mohamed, 57, kepada seorang lelaki sebelum pemuda itu tenggelam ke dasar sungai dekat Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Dungun, Dungun, hari ini..

Lelaki berusia 39 tahun itu bertindak terjun selepas dikatakan ternampak beberapa anggota polis masuk ke kawasan LKIM terbabit, jam 4.45 petang.

Mat Yasim berkata, sebelum kejadian, dia sedang berada di tebing muara itu membaiki botnya yang rosak.

“Saya terdengar orang terjun ke dalam sungai dan ketika menoleh, saya nampak pemuda itu mula berenang ke arah saya.

“Jarak saya dan pemuda itu hanya kira-kira 10 meter dan saya tidak berani turun kerana air yang dalam,” katanya.

Dia kemudiannya mengambil sebatang buluh panjang dan berjalan ke arah pemuda itu sambil merayu mangsa memegang buluh terbabit.

“Bagaimanapun, dia tidak mahu memegang buluh terbabit. Malah, percubaan beberapa anggota polis memujuk mangsa mencapai buluh itu sambil berjanji tidak akan menahannya.

“Saya sangat pelik, kalau dia capai buluh itu sudah tentu dia akan selamat. Namun, apa boleh buat dia (mangsa) tidak mahu memegang buluh itu.

“Pemuda itu beberapa kali tenggelam timbul sebelum dia terus tenggelam ke dasar sungai terbabit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika ditemui di tempat kejadian berkata, polis meminta bantuan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

Katanya, sehingga jam 8 malam, mangsa masih belum ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Disember 2018 @ 9:00 PM