KEADAAN kereta mangsa. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


“DIA tiba-tiba ‘hilang’ dari majlis perkahwinan anak saudara... 10 minit selepas itu saya dimaklumkan dia terbabit kemalangan," kata Mohd Hamizan Omar, 47, selepas adiknya maut dalam kemalangan di Kilometer 94, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Tebing Tembah Paka, dekat Dungun, hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6.45 petang itu, Mohd Azlan Omar, 38, maut di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala dan anggota badan.

Seorang lagi mangsa yang juga rakannya, Mohd Khaironizam Mohd Khanafi, 36, cedera parah di bahagian kepala, bahu dan kedua-dua belah kaki.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Proton Persona yang dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai terbabas selepas melalui selekoh tajam di situ.

Berikutan itu, kereta terbabit beberapa kali berpusing sebelum merempuh pondok menunggu bas.

Mohd Hamizan berkata, sebelum kejadian, dia bersama arwah sedang menyimpan peralatan perkahwinan anak saudara bersebelahan rumahnya di Kampung Nyor, Paka.

“Selepas majlis perkahwinan itu, kami berdua dan anak saudara lain sama-sama membantu menyusun kerusi dan tidak sedar, adik tidak ada di situ.

“Saya ingat dia naik mandi di rumah sebelum saya menerima berita dia terbabit dalam kemalangan,” katanya.

Katanya, dia bergegas ke tempat kejadian dalam jarak dua kilometer dari rumahnya dan mendapati anggota bomba sedang berusaha mengeluarkan adiknya yang tersepit di bawah runtuhan pondok bas terbabit.

“Selepas dikeluarkan dia masih lagi bernyawa, bagaimanapun pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan adik sudah meninggal tidak lama selepas itu,” katanya.

Mohd Hamizan berkata, dia dan arwah adiknya itu yang bekerja sebagai mekanik di bandar Dungun masih bujang dan mereka berdua tinggal bersama ibu.

“Dia tidak menunjukkan perbuatan pelik sebaliknya kelihatan ceria dan banyak bergurau dengan tetamu yang hadir sepanjang majlis perkahwinan anak saudara berlangsung,” katanya.

Menurutnya, dia dimaklumkan ketika kejadian, arwah adik dan rakannya itu dalam perjalanan menemui rakan mereka di Paka.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Mohd Rezuan Adnan berkata, pihaknya yang menerima panggilan kira-kira 7 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama lima anggota.

Katanya, anggota bomba terpaksa mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk dan kereta mangsa ketika itu ditimpa runtuhan pondok bas terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Disember 2018 @ 10:27 PM