PASUKAN mencari dan menyelamat mengangkat mayat mangsa yang ditemui lemas di kawasan Air Terjun Pecah Batu, Trong, Taiping, hari ini. Foto Ihsan JBPM
BERNAMA

MAYAT pemancing yang hilang ketika memancing di kawasan Air Terjun Pecah Batu, Trong, Taiping, semalam, dijumpai 1.45 tengah hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, mayat Muhammad Taufik Mahamad, 29, ditemukan oleh Pasukan Penyelam di Air (PPDA) dari BBP Kuala Kangsar selepas operasi mencari dan menyelamat disambung 9 pagi.

“Pasukan PPDA membuat kerja penyelaman sebelum menemui mangsa tersangkut tiga meter dari tebing di celah-celah batu dalam sebuah kolam sedalam lebih lima meter,” katanya dalam kenyataan media.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi mencari yang dilakukan sejak malam semalam ditamatkan pada 3.20 petang hari ini.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping Razlam Abd Hamid berkata, mangsa pergi memancing bersama seorang rakan di kawasan itu pada 3 petang.

“Rakan mangsa naik ke bahagian atas untuk memancing, dan mangsa mandi di kawasan itu. Apabila turun semula kira-kira jam 4 petang, mangsa didapati tiada di tempat mandi kecuali hanya ada pakaian dan beg,” katanya.

Menurut Razlam, rakannya mencari mangsa di kawasan sekitar bersama beberapa orang yang mandi di kawasan itu, namun mangsa tidak ditemui sehingga 7.30 malam semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Disember 2018 @ 5:43 PM