Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
cnews@nstp.com.my


PEMANDU bas ekspres dipukul sekumpulan lima lelaki di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Gambang arah timur di Kuantan dipercayai berpunca kerana salah faham, semalam.

Video kejadian yang berlaku 1.30 pagi itu tular sejak malam tadi.

Video berdurasi 1 minit 49 saat itu menunjukkan mangsa yang memakai baju serta berseluar hitam ditumbuk dan ditendang beberapa kali di bahagian badannya oleh kumpulan lelaki terbabit.

Kejadian dikatakan berlaku di kawasan tempat meletak kenderaan dan turut disaksikan orang ramai yang cuba meleraikan pergaduhan itu.

Difahamkan kejadian berpunca akibat salah faham antara mangsa dan kumpulan lelaki terbabit yang dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang didakwa mengasari pelayan kedai di R&R itu sebelum pelayan berkenaan memaklumkan kepada abangnya.

Bagaimanapun, ada juga dakwaan mengatakan pemandu bas berkenaan tidak mengasari pelayan kedai di R&R Gambang.

Sementara itu, Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan ANIH Berhad dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis semalam, di Balai Polis Maran untuk siasatan lanjut.

“Kami juga menyiasat video insiden antara kakitangan gerai R&R terbabit dengan seorang pemandu bas ekspres dengan lebih terperinci,” katanya di sini, hari ini.

Kenyataan itu berkata, ANIH Berhad kesal dengan kejadian berlaku dan tidak akan berkompromi dengan kakitangan gerai terbabit sekiranya didapati bersalah.

“Sekiranya didapati bersalah, kakitangan gerai berkenaan akan dikenakan tindakan tatatertib yang sewajarnya mengikut prosedur tetap operasi syarikat,” katanya.

Katanya, segala tindakan yang diambil kakitangan terbabit adalah tingkah laku peribadinya dan tidak menggambarkan atau melambangkan prinsip syarikat.

“ANIH Berhad memberi jaminan bahawa keselamatan pengguna dan ketenteraman awam adalah keutamaan kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Disember 2018 @ 1:33 PM
LELAKI dipercayai pemandu bas dipukul sekumpulan lima lelaki di kawasan Rehat & Rawat (R&R) Gambang arah timur di Kuantan selepas berlaku salah faham di antara mereka, kira-kira 1.30 pagi semalam. FOTO Tular