MAZRI bersama udang putih yang diternak di kawasan ZIA Sungai Miang.
Mohd Rafi Mamat
cnews@nstp.com.my


PEKAN: Ancaman memerang dan biawak besar secara berterusan tidak pernah mematahkan semangat dua sahabat mengusahakan projek ternakan udang putih secara komersial di kawasan Zon Industri Akuakultur (ZIA) Sungai Miang, di sini.

Projek diusahakan sejak 18 tahun itu oleh Mazri Mohd Ali, 47, dan All Fisha Abdul Ghafar, 50, membabitkan tujuh kolam di tapak seluas 20 hektar yang mengeluarkan hasil setiap dua hingga tiga bulan bergantung kepada permintaan.

Mazri berkata, memerang adalah musuh utama yang lazimya menceroboh kolam pada waktu malam dan dianggarkan seekor haiwan berkenaan mampu makan udang di antara satu hingga dua kilogram (kg) setiap ‘serangan’.

“Kehadirannya dapat dikesan berdasarkan penemuan muntah haiwan berkenaan di atas batas kolam terutama yang terletak bersebelahan dengan hutan belukar.

“Penggunaan pagar zink antara kaedah berkesan menghalang memerang yang bergerak secara berkumpulan antara tiga hingga lapan ekor menceroboh kolam secara berterusan. Saya juga menggunakan beberapa ekor anjing untuk mengawal serta menghalau memerang.

“Turut memberi ancaman adalah biawak besar yang lazimnya memburu udang pada waktu siang namun jumlahnya tidak sebanyak memerang,” katanya.

Mazri yang lebih terkenal dengan panggilan Awang berkata, walaupun berdepan dengan pelbagai ancaman namun projek ternakan udang putih diusahakan lebih 18 tahun lalu tetap diteruskan kerana permintaan menggalakkan.


PEKERJA menangkap udang putih dalam kolam menggunakan pukat.

“Menternak udang putih lebih mudah berbanding ikan siakap, tilapia dan patin kerana dalam tempoh 70 hingga 120 hari bergantung kepada permintaan ternakan boleh dijual kepada pemborong.

“Jenis makanan, kandungan oksigen dan peratusan masin air dalam kolam penting untuk mendapatkan hasil baik,” katanya yang pernah menjadi nelayan di Kampung Nenasi di sini.

Sementara itu, All Fisha berkata, sebelum ini mereka menternak udang harimau namun hanya mampu bertahan beberapa pusingan sahaja berikutan ancaman penyakit selain peratus pembesaran yang panjang menyebabkan kos bertambah dua hingga tiga kali.

“Kami memasarkan udang putih untuk pasaran dalam negara dan Singapura yang menggalakkan, malah pada bulan tertentu jumlahnya meningkat dua hingga empat kali ganda.

“Saiz kolam antara 0.4 hingga 0.7 hektar boleh memuatkan sehingga sejuta udang putih dan setiap kolam dapat menghasilkan antara tiga dan empat tan metrik udang putih dan dijual pada harga antara RM25 dan RM40 sekilogram,” katanya.

Katanya, sokongan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dan Jabatan Perikanan Negeri Pahang melancarkan lagi projek yang diusahakan bagi menjadikan daerah ini sebagai pengeluar utama produk akuakultur.

“Kami bercita-cita untuk membesarkan projek ternakan udang putih bagi memenuhi permintaan pengguna selain untuk meletakan daerah ini sebagai antara pengeluar utama udang di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Disember 2018 @ 11:57 AM