BUAYA tembaga yang tersesat ke Empangan Durian Tunggal berjaya ditangkap, semalam. FOTO Ihsan PERHILITAN
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


SELEPAS kira-kira seminggu usaha menangkap seekor buaya tembaga dijalankan, akhirnya reptilia seberat 200 kilogram itu berjaya ditangkap, petang semalam.

Buaya sepanjang 3.4 meter berkenaan dikatakan tersesat masuk ke Empangan Durian Tunggal, Alor Gajah sejak 14 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Melaka Noorzakiahhanum Mohd Noh berkata, tangkapan itu dilakukan dengan kerjasama Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Badan Kawal Selia Air (BKSA).

“Kerja pengeringan kolam menggunakan pam dibuat terlebih dulu dan pemantauan dilakukan sejak Jumaat lalu.

“Usaha menangkap buaya terbabit dibuat sejak Isnin lalu, bagaimanapun ia hanya berhasil (tangkapan) kira-kira jam 5 petang semalam,” ketika ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, kakitangan SAMB, Mohd Sham Hussin, 34, berkata buaya berkenaan dipercayai datang dari kawasan Machap, Alor Gajah dan masuk ke kawasan saliran empangan berkenaan.

“Pada awalnya, kita boleh melepaskannya (buaya) tetapi khuatir ia akan ke Sungai Melaka dan mengganggu penduduk di kawasan itu.

“Mungkin buaya ini turun ke sini selepas makanan di Machap sudah habis atau reptilia itu berasa terganggu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 6:31 PM