TERTUDUH (tengah) diiringi anggota polis di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini. Foto ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my


SEORANG lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini, kerana melakukan pecah rumah dan kedai sebelum mencuri peralatan katering serta penghawa dingin.

Penolong Kanan Pendaftar Noradila Ab Latif membuat keputusan itu selepas tertuduh, Fairul Rizuan Abdullah, 35, mengaku salah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memecah masuk sebuah kedai dan mencuri enam penghawa dingin milik Azeman Chik @ Musa, 49, di sebuah kedai penghawa dingin di Jalan Gong Badak, Kuala Nerus, jam 12 tengah hari pada 21 September lalu.

Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan sama dengan memecah masuk sebuah rumah dan mencuri 20 set buffet, lima tong gas, tiga periuk nasi, periuk pengukus, pinggan mangkuk, mesin rumput dan barangan katering milik Faieza Hazimee Mohd, 38, di sebuah rumah di Kampung Gong Badak, Kuala Nerus, jam 1.15 tengah hari pada 13 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun, dan bagi mana-mana satu kesalahan yang dilakukan kali kedua atau yang kemudian, boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Sebaik pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, Noradila menjatuhkan hukuman 18 bulan penjara bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman berjalan secara berasingan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Zafirah Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 6:08 PM