SADONG menunjukkan gambar ular yang tular dan dikaitkan dengan ular sawa yang ditangkap di PBKP. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

“GAMBAR ular sawa yang tular di media sosial itu bukan gambar ular yang ditangkap di Pasar Besar Kedai Payang (PBKP),” kata Mohd Azli Ramli, 40, peniaga PBKP ketika ditemui NSTP, di Kuala Terengganu, hari ini.

Mohd Azli berkata, dia berasa terkilan dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak yang memuat naik gambar itu di media sosial sekali gus menggambarkan PBKP tidak selamat dikunjungi.

“Laporan sebuah portal mengenai kes tangkapan ular sawa itu juga banyak bercanggah dengan fakta. Ular sawa itu memang besar tetapi tidak sebesar yang digambarkan melalui penulisan portal berkenaan.

“Gambar yang digunakan pula bukan gambar sebenar, malah ular itu ditangkap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan bukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) seperti yang dilaporkan,” katanya.

Dia berkata, penularan berita dan gambar yang tidak betul itu sedikit sebanyak memberi kesan negatif kepada perniagaan di PBKP.

“Ia menyebabkan pelanggan dan pelancong yang ingin berkunjung ke PBKP rasa bimbang dan tidak selamat,” katanya yang berniaga di PBKP sejak dua tahun lalu.

Seorang lagi peniaga, Rozali Mohd Amin, 55, berkata, ular sawa itu ditangkap di tepi gerai bawangnya dan ia tidak sebesar yang digambarkan dalam portal itu.

Menurutnya, ular sawa memang kerap ditangkap di PBKP dan ia tidak pelik kerana pasar terletak di tepi Sungai Terengganu.

“Bagaimanapun, sepanjang berniaga di PBKB tidak pernah berlaku kes ular sawa menyerang pelanggan atau peniaga PBKP,” katanya.

Rozali berharap masyarakat lebih prihatin dalam menyebarkan sesuatu maklumat atau kejadian yang berlaku di PBKP kerana laporan yang silap akan memberi kesan negatif kepada peniaga.

“Kami sentiasa memastikan kawasan perniagaan selamat dikunjungi malah program Gotong-Royong Pembersihan PBKP dijalankan sekali sebulan,” katanya.

Sementara itu, anggota bomba dan penyelamat Jalan Kota, Sadong Awang berkata, ramai kenalan yang bertanyakan mengenai ular sawa yang ditangkap itu.

“Saya terkejut apabila gambar ular yang menjadi tular di media sosial itu dikaitkan dengan kes tangkapan ular yang disertai saya pada Rabu lalu.

“Memang kami yang menangkap ular sawa itu tetapi ia tidak sebesar yang digambarkan.

“Ular sawa itu hanya seberat 20 kilogram dan sepanjang tiga meter. Bagi kami ia hanya ular yang bersaiz sederhana.

“Ketika operasi, ular sawa itu ditangkap dan terus dimasukkan ke dalam guni sebelum dilepaskan semula ke hutan yang jauh daripada penempatan penduduk,” katanya.

Ketua Balai JBPM Balai Jalan Kota, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Abdullah Zawawi berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan ular sawa itu pada 8.30 pagi Rabu.

“Tiga anggota ditugaskan untuk menangkap reptilia itu dan mengambil masa selama lima minit,” katanya.

Sebelum ini, penduduk di Kuala Terengganu gempar dengan laporan media sosial kononnya seekor ular sawa bersaiz gergasi dan sepanjang 10 meter ditemui di PBKP.

Berdasarkan laporan portal, ular sawa itu ditangkap APM ketika program Gotong-Royong Pembersihan PBKP pada Rabu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 6:03 PM