Suhaila Shahrul Annuar
cnews@nstp.com.my

MAHKAMAH Majistret membebaskan seorang eksekutif kanan pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) bergelar Datuk selepas empat hari direman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes rasuah berbentuk pengubahsuaian rumah bernilai RM400,000.

Majistret Shah Wira Abdul Halim membebaskan lelaki berusia 48 tahun itu dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada SPRM.

Terdahulu, suspek tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya pada jam 10 pagi semalam dengan diiringi pegawai SPRM.

Sebelum ini, sumber SPRM berkata siasatan awal mendapati suspek menerima rasuah berbentuk pengubahsuaian rumah dianggarkan berjumlah RM400,000 sebagai balasan telah memberi projek kerja penjenamaan semula pejabat cawangan TH kepada sebuah syarikat yang membabitkan kos RM 15 juta.

Beliau ditahan SPRM jam 8.35 malam Selasa lalu ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Pada 30 November lalu, TH membuat laporan polis berhubung kes salah guna kuasa dilakukan bekas pengerusi, bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan pengurusan kanan institusi itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, sebelum ini dilaporkan berkata ketika pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 dan 409 Kanun Keseksaan.

TH membuat dua laporan polis membabitkan bekas pengerusi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, dua bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah.

Selain itu, TH turut menamakan beberapa pengurusan kanan lain, Datuk Adi Azuan (Ketua Pegawai Operasi), Datuk Rozaida Omar (Ketua Pegawai Kewangan), Hazlina Mohd Khalid (Penasihat Undang-Undang) dan Rifina Md Ariff (Pengurus Besar Kanan, Perkhidmatan Korporat dan Harta Tanah).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 11:48 AM