OMAR sudah menjalankan perniagaan gunting bergerak selama 53 tahun. -Foto HASSAN OMAR
Hassan Omar
cnews@nstp.com.my


ALOR GAJAH: Tiada bilik berhawa dingin, cermin pandang depan dan belakang, kusyen empuk ataupun kusyen sandar.

Sebaliknya, hanyalah bunyi desiran angin yang menggugurkan daun pohon rimbun di tepi jalan setiap kali ada pelanggan ingin menggunting rambut dengan Omar Mat Som, 77, di Kampung Ramuan Cina Besar, di sini.

Segala kemudahan itu tidak disediakan Omar yang sudah mengabdikan diri selama 53 tahun sebagai tukang gunting kerana lelaki berusia lebih separuh abad ini tidak pernah kekal di satu tempat untuk menyempurnakan tugas hakikinya itu.

Dengan hanya beralaskan bangku dipinjam dari kedai kopi atau tunggul kayu di bawah pokok, pelanggan harus sabar menunggu rambut, misai dan janggut mereka digunting atau dicukur oleh anak jati dari Kampung Ramuan Cina Besar ini.

Omar berkata, sejak bujang dia yang tidak berminat merantau ke tempat lain untuk mencari rezeki menjadikan tugas itu sebagai pekerjaan hakiki mencari sesuap nasi untuk hidup bersama isteri dan membesarkan lima anak.


OMAR menyimpan peralatan menggunting di dalam bekas kayu yang diletakkan di belakang motosikalnya.

“Tidak seperti orang lain yang suka berdagang (merantau), saya lebih suka mencari rezeki di kampung sendiri.

“Sekitar 1960-an saya ambil satu kepala 30 sen (menggunting rambut) dan kemudian naik hingga kini antara RM4 dan RM5 bergantung sama ada pelanggan mahu bercukur atau tidak,” katanya ketika ditemui, semalam.

Selain Kampung Ramuan Cina Besar, pelanggan Omar turut datang dari Kampung Ramuan Cina Kecil dan Lubok Cina di Masjid Tanah.

Omar berkata, ketika usia muda dia turut melakukan kerja menoreh getah pada pagi dan menggunting rambut sebelah petang dengan menjadikan kampung kelahirannya dan beberapa kampung sekitar sebagai tempat untuk mencari rezeki.

Katanya, dia kini menunggang motosikal dengan bahagian belakangnya terikat kemas peti menyimpan pelbagai peralatan menggunting dan bergerak dari satu kampung ke kampung lain demi sesuap nasi.

“Menggunting rambut sama seperti kita memasang pukat di sungai atau laut, kadangkala kita dapat banyak ikan dan kadangkala terpaksa pulang hampa.

“Begitu juga dengan kerja ini, kadangkala ramai pelanggan, kadangkala saya sekadar menghabiskan petrol ‘meronda’ kampung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 11:38 AM